Monday, 3 June 2013

Warkah untuk-mu TUHAN

 
         

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Kini kumulakan tinta bicara,

“Aku bersaksi tiada Tuhan melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad SAW pesuruh Allah.”

Alhamdulillah, terima kasih yang tidak terhingga kuucapkan kepada-Mu ya Ilahi kerana Engkau masih memberi aku peluang dan ruang untuk terus menapak teguh di atas muka bumi-Mu ini.

“Ya Allah, dosa-dosaku seluas buih di lautan-Mu, seringkali lalai dan leka dengan nikmat-Mu, sering mengeluh apabila dititipkan ujian di sepanjang likuan hidupku. Allah, jarang sekali aku bersyukur dengan segala nikmat yang Kau kurniakan kepadaku. Demi-Mu Ya Allah, sebagai persaksianku pada malam ini, Engkau Maha Memahami dan Mengetahui apa sahaja yang terpendam dan terlintas di segenap sudut hatiku. Engkau Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani, maka, Kau ampunilah segala dosa-dosaku, ampunilah dosa-dosa ummi dan ayahku serta kasihanilah mereka sebagaimana mereka telah mencurahkan sepenuh kasih dan sayang mengasuh, menjaga dan mendidik sejak dari kecilku, ampunilah dosa-dosa saudara-maraku, dosa-dosa guru-guruku, sahabat-sahabatku serta seluruh umat manusia yang merasai nikmat Islam-Mu, selamatkanlah bumi Palestin, Gaza dan Syria, kentalkan hati-hati kami berjuang demi Ad-Din-Mu. Tetapkan pendirian kami, mantapkan iman kami, matikanlah kami dalam Iman. Sesungguhnya hanya kepada-Mu tempat kami berserah diri. Amiin.”

Nah, hari demi hari berlalu bagai tak terasa. Sedar tak sedar dah lebih 21 tahun aku diberi pinjaman nikmat iman dan nyawa untuk terus menggalas sebuah tanggungjawab sebagai khalifah Ilahi di muka bumi ini. Hm, tapi secara jujurnya berapa peratuskah tanggungjawab itu yang telah aku sempurnakan? 1 peratus? 2 peratus? Atau tiada langsung, hanya masih tertunggak sedari awalnya? Allahu Robbi. Kadang-kadang menerpa dalam hati kecil ini, ‘Allah, aku gagal lagi. Tolong aku.’ Tapi, ke manakah aku campakkan nilai penyesalan yang mungkin ribuan kali pernah menapak dalam hati. Tak pernah cuba untuk menghargai apa yang Kau beri. Bila rasa diri lemah, baru terngadah Engkau kucari. Tapi, bila bersenang-lenang, jarang sekali bibirku basah menyebut nama-Mu, Yaa Ilahi. Ya, itulah aku, insan yang bergelar manusia. Yang masih terkapai-kapai dalam lautan dunia, kerapkali hampir karam dan lemas, namun dengan Pertolongan-Mu yang Maha Luas, seringkali Kau tarikku kembali naik kembali ke atas. Begitulah fitrahku sebagai insani, sejauhmana pun kucuba berlari dari Tuhanku, namun, jauh di sudut hatiku, aku terlalu mendambakan Al-Haq dari Sang Pencipta. Ya, Al-Haq. Satu ungkapan yang amat ringkas kiranya bila didengar, tapi padat dengan makna yang mendalam dan tersirat. Firman Allah SWT di dalam Al-Quran, maksudnya:

“Yang demikian itu kerana sungguh, Allah, Dialah yang hak, dan sungguh, Dialah yang menghidupkan segala yang telah mati, dan sungguh, Dia Mahakuasa atas segala sesuatu.(Al-Hajj 22:6)

Allah. Itulah kini yang amat aku rindui setiap saat, setiap ketika, setiap hembusan nafasku ini. Tidak aku nafikan, terkadang, hati ini terlalu mudah beralih arah, yakni mudah sekali hati ini terusik dengan cobaan-cobaan dunia yang dititipkan oleh Dia, yang sebenarnya bertujuan untuk menguji tahap keimananku di paras apa, namun, kujatuh. Seringkali terjatuh dan terlena dibuai kesenangan dunia. Ya, dunia yang sebenarnya penuh dengan 1001 tipu helah. Aku lah antaranya menjadi mangsa tipu dayanya. Yang seringkali terikut-ikut dengan budaya yang entah dari mana datang dan ke mana halatujunya. Sambil aku menyelak-nyelak Manual Hidupku, Allah izinkan aku menjumpai ayat yang begitu menyentap seluruh jiwa ragaku. Begini bunyinya, Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan kehidupan dunia ini, hanyalah permainan dan senda gurau. Sedangkan negeri akhirat itu, sungguh lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Tidakkah kamu mengerti?” (Al-An’am 6:32)

Allah. ‘Terasa’nya hati ini ya Allah apabila aku tadabbur ayat ini. Kuatkan hatiku untuk teruskan penulisan aku pada kali ini, barangkali ia ada manfaatnya pada mereka yang amat mendambakan maghfirah dari-Mu, insyaAllah seandainya benar Kau izinkan, walaupun aku sedar, aku terlalu jauh dari kesempurnaan, terlalu banyak kelompongan yang perlu kututupi, hanya dengan peroleh kecintaan dan kasih sayang dari-Mu, aku gagahi.

Allah, apabila aku menghayati ayat ini, terimbau kembali segala kenangan lalu yang pernah kau pinjamkan untukku, agar kini aku dapat muhasabah kembali diri yang penuh dengan khilaf diri. Syurga-Mu, terlalu jauh untukku kecapi. Terlalu mulia untuk insan sepertiku ini yang penuh dengan ribuan dosa di hati. Namun begitu, jiwaku sungguh tidak kuat untuk menghadapi neraka-Mu yang marak apinya menjulang tinggi. Kurniakanlah aku petunjuk, agar aku tidak lagi berada dalam kesesatan yang panjang. Hanya dengan itu jiwaku kembali tenang. Hanya dengan mengingati-Mu, hati akan menjadi tenang. Sungguh, janji Engkau itu pasti.

Allah, dahulunya aku mungkin tidak seperti ini. Aku tidak pasti sama ada keikhlasan di hati menjadi tonggak utama di dalam meraih redha Ilahi dalam membuat sebarang spekulasi, atau hanya didominasi semata-mata ikutan duniawi. Ya, sepatutnya setiap amal kebajikan yang dilakukan hanya kerana-Mu. Hanya berobjektifkan redha dari-Mu. Namun, kadangkala hatiku goyah, bergegar dek tipu daya iblis laknat-Mu. Aku tertanya-tanya, apa sebenarnya yang kucari selama ini. Kecintaan? Kebahagiaan? Kesenangan? Bila rasa bahagia, lupa segalanya. Lupa apa sebenarnya yang sepatutnya aku utamakan. Lupa siapa yang Memberi bahagia. Lupa untuk ucapkan kalimah Alhamdulillah sebagai tanda syukur pada-Nya. Bila rasa dicinta, lupa siapa Pencipta cinta. Bila rasa senang, goyang kaki tanda megah sewenang-wenang. Namun, apabila sekali jiwaku direntap dek ujian bertalu-talu, siapa yang kucari? Siapa yang kudamba menemani setiap jaga dan malamku? Allahu Robbi. Oh! Dahulu, terlalu prejudisnya aku terhadap setiap ujian dan dugaan dari-Mu. Kukira ujian-Mu tanda Kau tidak sayangkan aku. Sungguh tidak adil penilaian aku terhadap-Mu. Melulu menuduh, membuta tuli! Hinanya aku, oh Tuhanku. Tapi, Engkau tetap Setia Menjaga dan hulurkan Senyuman Manis buatku setiap saat dan ketika. Malunya aku Tuhan, malu sungguh aku kepada-Mu.

Sesungguhnya, dalam sujudku, hidupku, matiku hanya untuk-Mu, Allah Tuhan yang Maha Mentadbir Sekelian Alam, Maha Pemurah dengan Maghfirah. Allah, ingatkan aku andai aku terlupa. Sedarkan aku dengan ayat-ayat amaran-Mu andai aku terleka. Peluklah aku dengan kerinduan-Mu, setiap detik waktu berlalu. Lindungi qolbiku dari rasukan tipuan dunia. Sucikan pancainderaku dari segala kekotoran zahiri dan batini. Tuhan, secara jujurnya, siapalah aku untuk mendambakan syurga-Mu. Siapalah aku untuk menjadi bidadari di taman-taman syurga-Mu. Kotornya jiwaku dek khilaf diri yang lara. Maghfirah-Mu amat kudamba. Tidak layakku rasa untuk menapak di taman-taman syurga-Mu, namun begitu, tidak pula aku terdaya untuk menahan siksa api neraka-Mu.

Kita manusia biasa. Kita sering lupa dan leka. Sebab itulah kita perlu dinasihat sentiasa. Supaya kita tidak terus terlena. Kadang-kadang manusia diuji dengan perkara yang remeh-temeh. Tapi disebabkan tidak bersabar, mereka terlepas peluang yang hebat. Sabar itu penting untuk mendidik diri. Aku mula sedar diri. Aku tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Aku cuba dengan sedikit kekuatan yang masih tersisa. Kudrat dianugerahkan yang tiada galang-gantinya. Setiap yang soleh itu ada masa silamnya yang gelap. Dan setiap pendosa itu sentiasa akan ada masa hadapannya yang cerah. Sebaris kata-kata yang kukira penyuntik semangatku untuk terus bingkas bangun. Mungkin benar, seseorang yang penuh dengan kisah silam terdahulu, tidak mustahil mempunyai masa hadapan yang gemilang kemilaunya dan tergolong dalam kalangan orang paling bertaqwa dengan izin Dia. Pokok pangkanya, adalah dari hati, dia benar-benar ikhlas memohon taubat nasuha dari-Nya, airmata yang berbaki menjadi segala saksi, dia benar-benar serahkan jiwa dan raganya hanya untuk Tuhannya agar tidak kembali kepada keadaan sebelumnya. Antara pintu yg paling luas di dalam Islam ialah pintu taubat. Ia sentiasa terbuka. Maka, kembalilah kepada Allah, genggam eratlah dengan tali Allah, empunya Al-Haq. Bukan sekadar terlantun dibibir sahaja, biarlah di hati maknanya hadir. Allah Maha Mengetahui segala isi hati hamba-hamba-Nya, sungguh tidak terlepas walau sesaat pun apa yang berada di hati dan fikiran mereka, bahkan daun-daun kering yang berguguran jatuh ke bumi dari pohon yang rendang turut berada di dalam pengetahuan Allah yang Maha Bijaksana. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Katakanlah wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Az-Zumar 39:53)

Yang menerima ibadah kita adalah Allah. Yang akan memberi pahalanya, Dia juga. Bukan manusia. Jadi, pedulikan suara-suara sumbang yang berdesing di sebalik tabir sana. Siapa mereka nak menuding jari sini sana. Umpama mereka suci dari dosa. Mafhum dari sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, “Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya, melainkan Allah akan menggugurkan dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunya”. Usah persoalkan, ‘Aku lebih baik dari dia’, ‘Dia tu dulu masyaAllah, punyalah teruk’, ‘Nasib baik aku tak terikut dia dulu, kalau tidak, habislah aku’, dan sebagainya. Segala amalan di dunia, di bawah penilaian dan perkiraan Dia yang Maha Kaya. Usah terlalu bongkak dan megah dengan apa yang kita ada, ia takkan kekal selamanya. Sifat ‘ujub dan riyak perlu ditepis kerana segala kehebatan hamba seharusnya disandarkan kepada Pencipta. Allah boleh mencabut setiap satu dari nikmatnya tanpa perlu meminta izin hamba-Nya pada bila-bila masa. Sekali sahaja Dia berkata, ‘Kun faya Kun!’, maka jadilah ia, hilanglah segala yang dipertahankan dahulunya, barangkali boleh musnah seluruh dunia hanya dalam sekelip mata. Ibrahnya, jangan terlalu taksub dengan nikmat dunia yang hanya sementara cuma kerana ianya hanyalah sebagai perisai perantaraan dari Tuhan buat hamba-hamba-Nya bagi mereka yang berfikir akan kebesaran-Nya. Percayalah, ujian dan dugaan yang dititipkan adalah sebagai tanda sayang, kasih, cinta dan rindu Pencipta kepada yang dicipta, bukan untuk mendera tapi untuk mendidik jiwa-jiwa hamba untuk lebih menghayati erti sebenar Iman, Islam dan Ihsan. Namun begitu, jangan dibuang terus dunia. Dunia yang sementara, tetap penting. Ia merupakan satu destinasi bagi menentukan di mana tempat kita di akhirat kelak. Akhirat yang kekal. Nun di sana, cita-cita kita. Nun di sana, tujuan sebenar hidup kita. Harap dunia hanya di tangan, bukannya di hati untuk dicintai. Namun, harapan manusia perlulah diiringi dengan usaha yang berterusan dan bertawakal selepasnya. Jangan pula menjadi seperti pepatah Melayu, “Mendengarkan guruh di langit, air tempayan dicurahkan”. Apa-apa sahaja yang diharapkan, impikan atau mahukan sebenarnya bergantung kepada takdir yang ditentukan secara mutlak oleh Allah yang telah dirancang dan ditentukan demi kebaikan umatnya.

Kembalikan hati ini kepada Pemiliknya. Pemilik yang memiliki segala-galanya. Hanya kepada-Nya tempatku mengubat hati dan hanya dengan kembali kepada-Nya hati mampu dipujuk. Bagiku, cukuplah Allah sebagai Penolong, dan cukuplah Allah sebagai sebaik-baik Pelindung. Bersungguh-sungguh kembali kepada-Nya, sehingga sampai saat yang kita sedar dan rasai kehadiran-Nya di sisi. Apabila tiba saat itu, tidak akan ada sesuatu yang mampu menggundahkan hati walaupun seluruh hati membenci. Sesungguhnya kegagalan dalam kemuliaan lebih baik daripada kejayaan dalam kehinaan.

“Ya Allah ya Tuhanku, berikan keafiatan pada jasadku dan keafiatan pada pandanganku dan jadikan ia barang warisan buatku. Tiada Tuhan melainkan Engkau, Tuhan yang Maha Penyantun lagi Maha Pemurah. Maha Suci bagi Allah, Tuhan semesta alam.”(Riwayat Al-Tirmidzi)

Amiin ya Rabbal ‘Alamin. Terima kasih ya Ilahi. Aku sayangkan-Mu.

Sumber - myibrah.com

No comments:

Post a Comment