Thursday, 2 January 2014

Bahana cinta Facebook


TEKNOLOGI dalam era globalisasi telah mengalami kemajuan yang selari dengan media massa dalam menunjukkan persaingan untuk memberikan informasi tanpa batasan.

Dunia kini menghadapi transformasi informasi sehingga melahirkan peradaban baru yang dapat memudahkan manusia untuk saling berhubungan serta meningkatkan sistem komunikasi sosial.

Media massa seperti surat khabar, radio, televisyen, dan internet sebagai medium komunikasi mampu memberi pengaruh yang luas sejak beberapa abad yang lalu.

Facebook merupakan medium komunikasi yang termudah dan moden di zaman ini. Malah ianya juga telah memberi impak besar kepada masyarakat khususnya generasi baru zaman ini dari sudut penyebaran maklumat semasa dan menjadi ruang perkongsian ilmu dengan lebih luas.

Disamping itu, laman sosial facebook juga kini menjadi kemudahan utama kepada masyarakat Malaysia khususnya untuk berkomunikasi pada jarak jauh selain telefon bimbit yang saban hari digunakan. Selain itu, ianya juga merupakan laman sosial paling popular dalam kalangan remaja di Malaysia.

Statistik menunjukkan bahawa, 34% daripada jumlah pengguna Facebook di Malaysia adalah dalam kalangan generasi muda remaja yang berumur antara 18 hingga 24 tahun.

Manakala di peringkat dunia pula, Malaysia menduduki tangga ke-17 pengguna Facebook teramai sebagaimana yang telah dilaporkan oleh laman sesawang www.socialbakers.com.

Kita tidak dapat menafikan kesan positif yang terdapat pada Facebook, namun kita perlu mengambil perhatian lebih terhadap kesan atau impak negatif yang datang daripada penyalahgunaan laman sosial yang paling berpengaruh ini.

Facebook semakin mendapat tempat di hati remaja di Malaysia khususnya untuk berhibur, menghabiskan masa dan meluahkan rasa isi hati walaupun mereka sedar segala aktiviti di laman sosial tersebut dapat diakses oleh orang ramai hatta seluruh dunia.

Pergaulan bebas tanpa batasan pada zaman yang serba maju ini tidak lagi bermaksud bertemu secara fizikal sahaja, malah fenomena pergaulan menerusi laman sosial turut disifatkan sebagai pergaulan bebas tanpa batasan dan mampu menyebabkan individu tersebut terjebak dalam kes-kes keruntuhan moral dan sebagainya.

Acapkali kita dipaparkan dengan kes-kes yang melibatkan remaja berpunca dari percintaan di alam maya Facebook dan mangsa utama adalah golongan wanita.

Bermodalkan ayat manis dan wajah yang sedikit kacak, segelintir lelaki telah Berjaya menjerat cinta gadis remaja dengan menggunakan Facebook untuk menjadi pemuas nafsu mereka.

Sasaran mereka,adalah gadis remaja yang kemaruk melayari laman sosial untuk mencari kenalan hingga jatuh cinta dan seterusnya menyerahkan kehormatan diri.

Terdapat juga kes lain yang.membabitkan penipuan alam maya ini. “Kerana Internet, maruah saya tergadai, malah hidup saya musnah.

Bukan itu saja, wang simpanan dan juga pinjaman pelajaran, lebur begitu saja kepada bekas teman lelaki” Anis 21 salah seorang mangsa yang pernah di lamar cinta Facebook oleh jejaka hidung belang.

Penipuan ini juga sering dikaitkan dengan warga asing yang berjaya memanipulasikan laman Facebook terhadap warga Malaysia untuk kepentingan tertentu seperti sindiket wang dan pelbagai lagi.

Kesimpulannya, Facebook pada asasnya adalah untuk menghubungkan antara satu dengan yang lain dan saling kenal mengenali sebagaimana Firman ALLAH bermaksud: "Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu.

Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal" Surah al Hujurat :13. Namun, etika yang sepatutnya diamalkan ketika menggunakan laman sosial ini tidak dipraktikkan oleh para pengguna sehingga mendatangkan cela kepada kebaikan Facebook itu sendiri.

Justeru , jadilah pengguna Facebook yang beretika serta bijak membahagikan masa ketika menggunakannya agar diri tidak terus hanyut dalam keasyikan alam maya Facebook.


No comments:

Post a Comment