Namun, Ketua Jurulatih Kelantan, Steve Darby menyifatkan pasukannya mempunyai kelebihan untuk menafikan peluang rakan sejawatan, Wan Jamak Wan Hassan mengukir kejutan dengan melakar sejarah baharu bersama pasukan berstatus kelab itu.
Menurutnya, jangkaan PKNS FC yang terkenal dengan jolokan ‘Semut Merah’ untuk mencipta kebangkitan di laman sendiri mungkin meleset kerana gelanggang keramat lawan hampir pasti dipenuhi dengan sorakan penyokong fanatik Kelantan pada perlawanan timbal balas itu.
“Memang benar, tidak ada bezanya kami menang 3-2 atau 1-0 sekali pun pada perlawanan pertama. Kami bawa margin yang sangat kecil (kelebihan satu gol) ke Selayang tetapi ia tetap satu bekalan yang cukup penting buat Kelantan.
“Saya sentiasa menaruh kepercayaan kepada pemain untuk membawa Kelantan ke separuh akhir. Tiada keraguan mengenai perkara ini, biar pun saya sedar status selaku penyandang juara memberi tekanan kami. Saya optimis kami mampu mara ke pusingan seterusnya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Pengendali kelahiran England itu juga menganggap tempoh rehat empat hari dimiliki PKNS FC berbanding pasukannya tidak memberi sebarang kelebihan kepada skuad kendalian bekas jurulatih Negeri Sembilan itu.
Menurutnya, percaturan Wan Jamak merehatkan tonggak utama seperti Muhammad Nazmi Faiz Mansor dan Patrick Ronaldinho Wleh pada perlawanan Liga Super menentang Sime Darby FC sedikit pun tidak menggentarkan beliau yang terpaksa mengetepikan penyerang import Liberia, Francis Forkey Doe akibat masalah kecederaan.
“Sudah pasti saya mahukan kemenangan meski pun keputusan seri dilihat memadai untuk kami layak ke separuh akhir. Apa pun, kami akan turun dengan misi mendapatkan jaringan awal bagi memberi tekanan kepada PKNS FC,” katanya.
Sementara itu, jurulatih berusia 59 tahun itu mengesahkan peluang Mohamed Shawky Aly untuk diturunkan masih samar biar pun pemeriksaan Magnetic Resonance Imaging (MRI) dua hari lalu mengesahkan kecederaan otot paha beliau tidak begitu membimbangkan.
“Saya ada tempoh 24 jam untuk memantau perkembangan Mohamed Shawky. Esok (hari ini) saya akan buat keputusan sama dia boleh diturunkan atau tidak. Begitu juga, Ahmad Shakir Md Ali (penyerang) ada mengadu sakit di bahagian perut tetapi saya rasa dia boleh bermain malam esok (ini),” katanya.
Yang pasti, Darby tampak cukup lega apabila pemain tengah bertahan, Amar Rohidan kembali menyertai pasukannya ke Selayang sekali gus memberi banyak variasi kepada beliau untuk merencana gandingan enjin tengah Kelantan pada pertemuan itu.
No comments:
Post a Comment