Tuesday 14 January 2014

DIKIR TRADISIONAL SUKAR DILUPAKAN



PASIR PUTEH - Suatu ketika dahulu, persembahan dikir barat diadakan di kawasan bendang selepas musim menuai padi sebagai hiburan kepada petani dan acara yang bermula sekitar jam 11 malam akan berlanjutan hingga ke jam 5 pagi.

Senario ini pernah dilalui pendikir veteran, Che Awang Che Ali, 67, atau lebih dikenali sebagai Che Awang Anak Ular dalam kalangan peminat dikir barat ketika itu.

Che Awang berkata, perkembangan dikir barat di Selatan Thai lebih meriah berbanding Kelantan dan dia kerap kali diundang ke bandar-bandar negara jiran itu seperti Yala, Narathiwat dan Pattani.

“Untuk ke sana kita terpaksa menggunakan keretapi kerana itulah satu-satunya pengangkutan yang ada, berada seminggu untuk beberapa persembahan di sana adalah lumrah.

“Ketika itu tukang karut memainkan peranan penting dan menguasai hampir keseluruhan persembahan dengan adegan kutuk-mengutuk menjadi lumrah malah itulah yang dinanti-nantikan peminat,” katanya yang mula menceburi bidang itu ketika berusia 13 tahun lagi.

Sayangnya ketika itu katanya, tiada sebarang album dikeluarkan, hanya selepas dia mengundur diri dari arena itu ketika usia mencecah angka 40, barulah kaset dikir barat dihasilkan di Kelantan.

“Saya bersara kerana tidak sanggup berjaga hingga ke pagi, lagipun saya lebih mementingkan kesihatan ketika itu”, katanya sempat meletakkan namanya sebaris dengan beberapa pendikir tersohor seperti Dollah Kulat Malam,
Awang Ikan Duyung, Seman Wau Bulan, Kumat dan Mat Yeh.

Che Awang boleh dikatakan generasi terawal dikir barat kerana dia sempat berkongsi pentas dengan Pok Leh Tapang, individu yang bertanggungjawab membawa permainan ini daripada Thailand untuk diperkenalkan di negeri ini.

Katanya, persembahan dikir barat pada peringkat awal hanyalah pantun-pantun berirama tanpa iringan sebarang alat muzik namun ia melalui perubahan yang kemudiannya mampu menarik lebih ramai peminat.

Beliau yang pernah beberapa kali menyertai Pesta Dendang Rakyat bersama Kumpulan Telaga Papan dan Kumpulan Sri Peraksi kini mampu berbangga dengan pencapaian anaknya, Cikgu Sulizi.

“Saya tidak pernah mengajar dia (Sulizi) berdikir, dia mencipta nama hasil inisiatif sendiri ketika menuntut di Universiti Malaya bersama Cikgu Naim dan Halim Yazid,” katanya.

Menurutnya, usaha generasi baru mendalami serta terus aktif dalam dikir barat wajar dipuji kerana ia membantu mengekalkan seni itu di Kelantan.

1 comment: