Tuesday 14 January 2014

Dituduh rompak guna parang, M-16



PASIR MAS - Seorang lelaki yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan parang serta senjata api M-16 dan melepaskan tembakan di Bandar Tanah Merah pada 30 Disember lalu.

Tertuduh Mokhtar Mohd Zin, 52, yang bekerja sebagai pemandu teksi tidak mengaku bersalah dan memohon untuk dibicarakan atas kedua-dua pertuduhan ketika dihadapkan di depan Hakim Irwan Suainbon.

Dalam pertuduhan pertama, Mokhtar didakwa melakukan rompakan berkumpulan bersama dua lagi rakannya di sebuah kedai runcit kira-kira jam 8.05 malam dengan mengambil wang tunai anggaran RM300 dan bersenjatakan selaras senjata api M-16 serta sebilah parang.

Mokhtar dihukum mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Tertuduh turut dihukum mengikut seksyen 397 kanun keseksaan yang membawa hukuman sehingga boleh dikenakan sebat jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan tersebut dikendalikan oleh, Timbalan Pendakwa Raya, Mariah Omar.

Sementara itu, mengikut pertuduhan kedua, Mokhtar didakwa telah melepaskan tembakan daripada senjata api jenis M-16 dengan niat hendak menyebabkan kematian atau kecederaan kepada mangsa.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 dan dihukum di bawah Seksyen yang sama iaitu dihukum bunuh walaupun tiada apa-apa kecederaan dilakukan jika disabitkan kesalahan.

Mahkamah menetapkan 10 Februari ini untuk sebutan kes.

Tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan hakim menasihatkan tertuduh agar mendapatkan khidmat guaman.


-sumber sinar harian

No comments:

Post a Comment