Sunday 9 February 2014

TENANG SELEPAS PELUK ISLAM



KUALA TERENGGANU - "Alhamdulillah, saya rasa tenang selepas dua tahun peluk Islam, sekarang saya meneruskan perniagaan secara kecil-kecilan untuk menampung kehidupan saya," kata seorang maualaf, yang hanya mahu dikenali sebagai Abdullah.

Abdullah yang kini berusia 57 tahun berkata, dia kini tinggal seorang diri setelah berpisah dengan isterinya beberapa tahun lalu.

Katanya, kini empat anak hasil perkahwinannya dulu telah besar dan tinggal di ibu kota bersama bekas isterinya.

“Dulu, masa kerja saya pernah kemalangan, van yang saya bawa berlanggar, jadi lepas tu saya jatuh muflis, perniagaan tak berapa rancak, kemudian keluarga tinggalkan saya.

“Sekarang Alhamdulillah, saya kenal dengan kawan-kawan Melayu yang banyak ajar saya dalami Islam, hingga akhirnya saya ambil keputusan peluk Islam. Saya berasa tenang sekarang, walaupun anak dan bekas isteri tidak hubungi saya, kecuali anak sulung yang masihberhubung, saya senang seorang diri,” katanya.

Abdullah yang berasal dari Pulau Pinang berkata, walaupun selesa hidup seorang diri, dia akui berasa sunyi kerana tiada teman untuk berbual.

“Saya ada pelihara empat ekor kucing di rumah, kucing-kucing ini yang jadi penghibur saya. Saya akui, walaupun selesa hidup seorang diri, saya masih mencari pasangan hidup untuk mengisi hari tua.

“Anak-anak yang lain semuanya dapat kerja bagus-bagus, tapi terputus hubungan. Ada nombor telefon tetapi bila dihubungi, tak dapat,” katanya.

Abdullah telah 10 tahun berniaga kayu ubat, batu jed, cincin, gelang, tasbih dan aksesori berasaskan batu dan kayu di Pasar Payang.

“Pasang surut perniagaan bergantung kepada nasib. Ada hari untung, ada hari tak ramai datang beli, pendapatan agak kurang. Saya berniaga untuk tampung hidup, makan, pakai saya seorang sahaja. Saya bersyukur dengan rezeki yang ada,” katanya.

Dia yang telah hampir 40 tahun tinggal di Terengganu berkata, bakat mengukir cincin, membuat gelang dan mengukir kayu diperoleh daripada pengalaman bergaul dengan mereka yang arif dalam bidang itu.

“Ayah dan emak saya sudah lama tiada, dulu, mereka pun suka tanam pokok ubat-ubatan begini. Pada saya, walaupun zaman sudah moden, ramai yang masih mencari ubat-ubatan tradisional daripada kulit dan akar kayu.

“Banyak manfaat yang ada pada akar kayu ini, antaranya menghilangkan penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan sebagainya. ada juga yang dibuat ubat bagi anak-anak yang demam,” katanya.

Menurut Abdullah, antara akar kayu yang dijualnya ialah akar kayu bahau, kayu munggal, kemuning hitam dan kuning, raja kayu, tongkat ali dan beberapa jenis lagi kayu yang diperoleh dari hutan.

“Sejak empat dan lima tahun kebelakangan ini, saya lebih tumpukan kepada perniagaan berasaskan kayu yang saya ukir sendiri seperti cincin kayu dan keris yang dijadikan telunjuk ketika mengaji al-Quran,” katanya.



-sumber sinarharian online

No comments:

Post a Comment