Sunday 27 April 2014

TAGOE tolak tawaran tinggi Demi TRW



PENYERANG import baharu The Red Warriors, Prince Tagoe mendedahkan beliau sanggup mengetepikan tawaran lumayan dari kelab lain semata-mata mahu beraksi bersama pasukan berkenaan dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Tagoe berkata, beliau mendapat tawaran untuk beraksi dalam liga di Romania, Croatia dan Tunisia sebelum ini, namun memilih untuk mencuba nasib buat pertama kali bermain di Malaysia.

“Sebelum datang ke sini, saya diberitahu Kelantan merupakan sebuah pasukan yang bagus dan mempunyai ramai penyokong fanatik. Pengurus peribadi dan beberapa rakan karib saya mengesyorkan adalah lebih baik saya datang bermain bersama pasukan ini.

“Ini merupakan sesuatu yang cukup menarik untuk diperkatakan dan saya harap kehadiran saya bagi menyarung jersi Kelantan bukanlah satu keputusan yang silap,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Reputasi Tagoe, penyerang kebangsaan Ghana yang pernah beraksi dalam kempen Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan bagaimanapun hanya akan teruji apabila Kelantan bertemu Felda United FC pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Kota Bharu, 6 Mei ini.

Menurut Tagoe yang pernah mewakili Africain Club di Tunisia pada musim lalu, beliau tidak meletakkan sasaran peribadi mahu menjaringkan seberapa banyak gol, sebaliknya mengutamakan semangat berpasukan bagi memastikan kemenangan mutlak Kelantan dalam saingan Liga Super.

“Anda mungkin mengharapkan saya menjaringkan 20, 30 atau 50 gol tetapi saya tidak mahu memikirkan tentang perkara itu. Saya datang ke sini hanya untuk membantu Kelantan dan fokus saya 100 peratus ialah mencipta kemenangan bersama pasukan ini,” katanya.

Dalam pada itu, penyerang berusia 27 tahun itu, tidak menolak penyertaannya bersama gergasi pantai timur itu bakal menjadi batu loncatan untuk beliau kembali menyarung jersi negaranya pada Piala Dunia di Brazil, Jun nanti.

Sementara itu, pemain kelahiran Iraq, Hussien Alaa Hussien Salman mengakui teruja dapat mewakili Kelantan namun berharap peminat pasukan tersebut tidak membandingkan kehebatannya dengan bekas tonggak pertahanan import sebelum ini, Obinna Nwaneri.

“Setiap pemain ada kualitinya tersendiri. Begitu juga saya dengan Nwaneri. Saya berharap sangat penyokong Kelantan memberi peluang kepada saya untuk membuktikan keupayaan sebenar bersama pasukan ini.

“Sudah pasti saya mahu menyumbang sesuatu buat pasukan ini. Saya tahu Kelantan adalah satu nama besar dalam bola sepak di Malaysia dan sebagai motivasi diri, saya anggap setiap perlawanan yang diharungi pasukan ini merupakan perlawanan akhir,” katanya.


-sumber sinar harian online

No comments:

Post a Comment