Tuesday, 31 December 2013

Erti sebenar sambutan tahun baru



SETIAP kali tibanya hujung tahun maka sibuklah kita dengan pelbagai persiapan menyambut ketibaan tahun baharu. Bagi yang berada, menyambut kedatangan tahun baharu di luar negara serentak dengan percutian musim sejuk walaupun para warga Eropah sibuk melarikan diri mereka dari cuaca sejuk di negara mereka sendiri dengan bercuti ke Malaysia, Thailand, Indonesia, Singapura dan lain-lain.

Apa yang kita sambut sebenarnya?

Pelbagai fakta dan intrepretasi yang boleh kita perolehi mengenai latar belakang bulan-bulan Januari sehingga Disember. Namun, cukuplah sekadar disebut secara ringkas buat renungan kita semua.

Seluruh dunia termasuk negara-negara yang majoriti penduduknya menganuti agama Islam akan menyambut ketibaan tahun baru tuhan-tuhan Roman. Nama tuhan-tuhan Roman akan berulang kali kita sebut setiap bulan pada tahun berikutnya nanti secara sengaja mahu pun tak sengaja.

Contohnya bulan Januari mendapat namanya dari tuhan Janus yang juga dikenali sebagai 'Sky God' iaitu tuhan langit di mana kedatangan tuhan langit disambut dengan mencerahkan langit dengan bunga api berwarna-warni dan mercun.

Bulan Februari pula berasal dari februa  yang membawa maksud "means of purification." Manakala bulan Mac iaitu Martius berasal dari Mars yang membawa makna sebagai 'Tuhan Peperangan Roman' (the Roman God of War).

Untuk bulan April ada beberapa pendapat termasuk salah satunya dariJakob Grimm yang mengatakan nama bulan April berasal dari 'a god or hero named Aper or Aprus'.

Seterusnya nama bulan Mei atau Maius berasal dari tuhan wanita  yang bernama Maia dan Julius Ceasar memilih untuk menamakan dirinya sendiri bagi nama bulan Julai.

Jadi tidak hairanlah perangai anak-anak bangsa kita menjadi terlampau liar sewaktu menyambut tahun baru kerana mereka tidak menyedari yang mereka sedang menyambut tahun baru tuhan-tuhan agama lain. Merempit, mabuk, pembaziran makanan/minuman, hiburan keterlaluan semuanya membawa kepada keuntungan berlipat ganda golongan peniaga namun secara langsung membawa kepada banyak masalah-masalah sosial yang tidak diingini oleh negara kita.

Meriahnya cuti umum tahun baru telah disalah faham oleh banyak golongan yang sepatutnya perlu membuat sedikit kajian apa itu erti 'holy day' — iaitu hari suci kepada penganut agama tertentu. Justeru tak hairanlah mengapa ramai antara kita yang menjadi malas pada hari cuti umum dan membiarkan orang lain yang mengaut keuntungan bila mereka memilih untuk bersukaria, bersantai-santai, berhibur pada waktu cuti umum.

Apakah 1 Januari adalah hari suci (Holy Day)  bagi kebanyakan kita yang beragama Islam? Banyak aktiviti berfaedah yang lebih produktif dapat dilakukan sempena cuti umum tahun baru selain daripada berseronok-seronok.Seterusnya, adalah lebih malang lagi bila malam cuti tahun baru Maal Hijrah/Awal Muharam juga tiada bezanya yang biasanya turut digunakan untuk merempit &merewang-rewang hingga ke subuh tanpa arah tujuan.

Kesan sambutan 'holy day' sempena setiap kali sambutan Krismas dan tahun baru di Jalan Bukit Bintang Kuala Lumpur pernah dipaparkan oleh media elektronik dengan lautan sampah serta paparan anak-anak muda kita bersukaria tanpa mengendahkan pekerja-pekerja Alam Flora yang sibuk membersihkan sampah-sarap dengan kesesakan lalu lintas di Jalan P Ramlee.

ALLAH SWT mengejutkan dunia pada 26 Disember 2004 dengan membawa tsunami ke Aceh, Phuket, Langkawi, Kuala Muda , Balik Pulau dan lain-lain tempat di serata dunia termasuk hingga ke benua Afrika yang telah menyebabkan  Perdana Menteri ketika itu mengarahkan supaya sambutan tahun baharu 2005 dibatalkan walaupun ketika itu di sekitar Jalan Bukit Bintang ramai yang  tetap meneruskan pesta tahun baru dengan memancutkan buih-buih serta minuman keras .   

Tidak cukupkah pengajaran yang kita perlu ingat dari tsunami, masihkah orang kita 'galak' nak menyambut tahun baharu pelbagai tuhan Roman.

Teringat penulis kepada sebuah telemovie awal tahun 90-an berjudul 'Selamat Tahun Baru YB'   lakonan Seniman Datuk Rahim Razali, Uji Rashid bersama Abu Bakar Omar di mana Datuk Rahim Razali sebagai YB Menteri telah meminta isterinya  yang dilakonkan oleh seniwati Uji Rashid yang beria-ia hendak menjemput tetamu menyambut pesta tahun baru supaya digantikan dengan majlis tahlil kenduri doa selamat. Mungkin telemovie karya Allahyarham Zain Mahmood itu patut diulang siar oleh pihak stesen TV.

Bagi keberkatan berterusan punca rezeki yang kita semua cari secara Halal, sudah tiba masanya untuk semua kita untuk turut menggunakan nama nama bulan dalam taqwim kita seperti Muharram (bulan pertama tahun Hijrah), Safar (bulan kedua tahun Hijrah), Rabiul Awwal (bulan ketiga), Rabiul Akhir (bulan keempat), Jumada Awwal (bulan kelima), Jumada Akhir (bulan keenam), Rajab (bulan ketujuh), Sha'ban (bulan kelapan), Ramadan (bulan kesembilan), Syawal (bulan kesepuluh), DzulQaedah (bulan kesebelas) dan DzulHijjah (bulan kedua belas tahun Hijrah).

Kita juga seharusnya lebih teliti dalam menggunakan terma-terma seperti 'Holy Day' (hari suci), 'Calendar' (di mana Hari Kalends adalah permulaan bulan baru yang didedikasikan kepada Juno Tuhan Wanita Utama Roman Pantheon).


Bagi keberkatan dan kesejahteraan semua lebih-lebih lagi Malaysia yang beraspirasi menjadi sebuah 'global hub for Islamic Banking' di mana kepekaan terhadap elemen-elemen ini akan amat dihargai oleh ahli-ahli korporat dan pelabur dari Timur  Tengah. Kita seharusnya nampak ikhlas bila cuba membawa 'petrol dollars' dari Timur Tengah yang berjumlah trillion USD serta peka pada apa yang sepatutnya kita peka supaya kita benar-benar dapat merasai faedah pelaburan FDI (Foreign Direct Investment) Timur Tengah di rantau ini dan bukan sekadar tempias .

Mengambil kira penderitaan musim sejuk dan kelaparan rakyat Afghanistan, Iraq, Palestin, Syria dan lain-lain di manakah kewajaran kita untuk membazirkan jutaan ringgit bermain mercun serta bunga api bagi menyambut tahun baharu kedatangan tuhan-tuhan orang Roman. Akhir sekali, apakah tahap kewarasan kita jika kita bersedia membazir begitu banyak wang untuk menyambut tahun baharu tuhan orang Roman di kala peningkatan kos sara hidup danharga barang-barang keperluan yang secara langsung melanggar beberapa aku janji (undertaking) kempen BN  kepada rakyat yang diuar-uarkan di media perdana sempena PRU13 baru-baru ini.  Wallahualam.


Dr Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar

Peguambela dan Peguamcara

Kuala Lumpur


 

No comments:

Post a Comment