Tuesday 31 December 2013

Nyaris terkena tembakan M-16


TANAH MERAH - Seorang remaja berdepan detik cemas apabila nyaris terkena tembakan yang dilepaskan penjenayah bersenjatakan raifal M-16 dalam rompakan di sebuah kedai serbaneka di bandar ini, kelmarin.

Ketika kejadian kira-kira jam 8.15 malam, Rozailan Irwan Mohd Jefri Ooi, 17, yang bekerja di kedai itu sedang berdiri berhampiran peti ais minuman yang terkena tembakan dilepaskan penjenayah terbabit.

Rozailan Irwan berkata, dia terkejut dan panik apabila terdengar tembakan dilepaskan seorang daripada dua lelaki bertopeng yang tiba-tiba meluru masuk ke kedai itu dan mengenai peti ais terletak kurang dua meter dari tempatnya berdiri.

“Selalunya dapat tengok kes tembak di skrin televisyen tetapi tak sangka pula hari ini (kelmarin), saya sendiri nyaris terkena tembakan,” katanya ketika ditemui pemberita, kelmarin.

Rozailan Irwan yang merupakan anak saudara kepada pemilik kedai itu berkata, kejadian kurang daripada lima minit itu turut mengejutkan pembantu kedai wanita yang menjaga kaunter bayaran.

“Selepas dua perompak itu keluar, perasaan berdebar saya terus hilang tetapi dia (pembantu kedai) masih trauma dan tidak boleh bercakap kerana terkejut,” katanya.

Tambahnya, dia mengakui berasa ada sesuatu tidak kena apabila kereta dinaiki penjenayah terbabit diletakkan jauh sedikit dari pintu kedai yang terletak di tepi jalan utama itu.

“Cuma saya tak sangka, penjenayah terbabit terus lepaskan tembakan sebaik sahaja melangkah masuk dalam kedai sebelum seorang lagi meluru ke kaunter sambil mengacu parang,” katanya.

Pada kejadian kira-kira jam 8.15 malam, satu das tembakan dilepaskan ketika dua lelaki bertopeng dan bersenjatakan selaras raifal M-16 serta sebilah parang merompak kedai serbaneka berkenaan.

Selepas berjaya menyamun wang tunai kira-kira RM300, dua penjenayah terbabit bersama seorang lagi rakan mereka yang menunggu di kereta melarikan diri ke arah Jalan Jedok, dekat sini.

Tindakan pantas polis bagaimana pun berjaya mengesan tiga penjenayah terbabit di sebuah kedai makan kira-kira dua kilometer dari lokasi rompakan sebelum berjaya menahan seorang daripada mereka.

Dua lagi penjenayah bagaimanapun berjaya melarikan diri dipercayai ke arah Bukit Tebu dan kini giat diburu pasukan polis diketuai Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Ab Aziz Mahmud.

Suspek berusia 51 tahun dan berasal dari Rantau Panjang ditangkap kira-kira 100 meter di belakang kedai makan tersebut selepas berlaku pergelutan sehingga memaksa polis melepaskan tembakan ke udara.

Pemeriksaan ke atas kereta dinaiki suspek turut menemui selaras senjata api jenis Colt M-16 5.56 dan satu kelopak peluru di tempat duduk penumpang belakang selain masing-masing sebilah parang, sabit dan pisau lipat.


-sumber sinar harian

No comments:

Post a Comment