Sunday, 9 February 2014

ENAM PENGGALI KUBUR DICEKUP



ROMPIN – Percubaan enam lelaki untuk menggali kubur di Kampung Deraman, Batu 3, Kuala Rompin, di sini, gagal apabila dicekup sekumpulan Orang Asli, malam kelmarin.

Kejadian itu mulanya disedari oleh seorang penduduk kampung, Tan Din, 39, yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumah.

Menurutnya, dia curiga apabila melihat ada cahaya lampu suluh di dalam kawasan perkuburan dan sebuah kereta di tepi jalan dalam gelap.

“Saya rasa tak sedap hati lalu singgah dan bertanya tiga orang yang berada dekat kereta tersebut dan mereka berkata, sedang menunggu enjin kereta sejuk kerana enjin ada masalah.

“Namun apabila saya melihat keadaan kereta itu, saya tambah pelik kerana bonet tidak dibuka sedangkan mereka kata sedang menyejukkan enjin. Saya kemudian bagi tahu tok batin,” katanya.

Difahamkan, Tok Batin Kampung Deraman, Atan Abdul Rahman, 54, memaklumkan hal tersebut kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Deraman, Rosman Sulong, 39, untuk meninjau kawasan perkuburan bagi mendapatkan kepastian.

Menurut Rosman, beliau bersama penduduk kampung pada mulanya mengintai dari jauh dan melihat ada tiga orang sedang menggali kubur.

“Kami bentuk dua kumpulan, satu kumpulan saya arahkan pergi menahan tiga individu yang sedang menunggu di kereta dan satu kumpulan lagi menyerbu tiga individu yang sedang menggali kubur.

“Ketika diserbu, tiga individu yang sedang menggali kubur itu cuba melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, ketika ditanya salah seorang individu itu, dia mendakwa sedang berubat dengan seorang bomoh dan bomoh berkenaan mahu tulang manusia untuk berubat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Johari Jahaya yang dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut.

“Enam suspek telah ditangkap penduduk kampung dengan bantuan polis. Salah seorang suspek dikehendaki dalam satu kes di Kuantan dan seorang lagi suspek ada rekod jenayah. Kesemua suspek ditahan reman,” katanya.

Menurut Johari, suspek mengaku ada yang kena santau dan tulang orang mati diperlukan bomoh untuk berubat. Kes disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan, iaitu menceroboh tanah perkuburan.


-sumber sinarharian online

No comments:

Post a Comment