Tuesday, 18 February 2014

Gadis akalasia tidak makan 25 tahun



DARIPADA makanan berkhasiat yang kaya nutrien sehingga hidangan tinggi kolesterol, anda pasti tidak terkecuali daripada menjadi peminat tegar makanan tertentu.

Bagaimanapun, keadaan berbeza bagi seorang gadis yang berasal dari Sonipat, sebuah daerah kecil yang terkenal dengan aktiviti penanaman gandum berdekatan New Delhi, India.

Percaya atau tidak, sepanjang 25 tahun usia gadis bernama Manju Dharra itu, dia tidak pernah merasai nikmat menjamah makanan pejal.

Kehidupan harian gadis istimewa itu sebaliknya bergantung penuh kepada makanan berbentuk cecair seperti susu, dadih, teh dan air yang menjadi sumber bekalan tenaganya.

Dia yang menghidap penyakit akalasia iaitu kecenderungan untuk memuntahkan semula makanan secara tiba-tiba terutamanya yang berbentuk pepejal, dikatakan mampu minum antara 4 hingga 5 liter susu lembu segar sehari.

Menurut ibunya, Bhagwati Dharra, tabiat pelik anaknya itu hanya disedari ketika Manju berusia dua tahun.

"Pada mulanya saya sangka ia perkara normal bagi bayi iaitu hanya minum susu tanpa menjamah makanan lain.

"Namun, ketika umur Manju dua tahun, saya mula berasa pelik apabila dia enggan makan sebarang makanan dan lebih membimbangkan, dia akan memuntahkan semula makanan tersebut," katanya seperti yang dilaporkan portal berita Mail Online.

Tambah Bhagwati, dia pernah memujuk anaknya supaya makan roti dan nasi tetapi tidak berjaya kerana Manju akan menangis dan beberapa hari kemudian dia jatuh sakit.

Pada mulanya wanita tersebut beranggapan anaknya cerewet dan terlalu memilih dalam perihal makanan.

Beli lembu

Tetapi apabila menyedari perkara yang sama sering berulang khususnya semasa Manju disuruh menjamah makanan, dia mula sedar bahawa anaknya sedang sakit.

Menyedari hakikat tersebut, Bhagwati membawa Manju berjumpa dengan doktor untuk menerima rawatan susulan.

"Hampir semua rawatan di setiap klinik yang ada di daerah ini telah kami cuba tetapi penyakit Manju belum menampakkan tanda-tanda akan sembuh.

"Saya diberitahu oleh seorang doktor di Jaipur, penyakit Manju mampu dirawat oleh pakar tetapi memandangkan keadaan kewangan kami sekeluarga sekarang tidak stabil, kami terpaksa menggunakan alternatif lain untuk merawat penyakitnya," ulasnya.

Tambah Bhagwati, dia mengakui agak pelik memandangkan keenam-enam anaknya yang lain sihat dan tidak pernah mengalami masalah kesihatan seperti Manju.

Ekoran daripada keadaan tersebut, bapa Manju yang bekerja sebagai tukang batu, Ramkanwar Dharra telah mengeluarkan sejumlah wang bagi membeli beberapa ekor lembu yang mampu membekal susu untuk anaknya.

Walaupun Manju hanya mendapat bekalan tenaga daripada susu, dia bagaimanapun dapat membesar dengan sempurna seperti wanita-wanita India yang lain selain cergas melakukan aktiviti harian.



-INFO kosmo online

No comments:

Post a Comment